Berita

Tingkat integriti, banteras rasuah
Tarikh : 28 Jun 2022  Sumber Berita: SUARA SARAWAK
 

KUCHING: Pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) merupakan inisiatif strategik untuk mengukuhkan budaya integriti dalam bekerja.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pelaksanaan tersebut juga menunjukkan keseriusan komitmen untuk menentang rasuah.

“Kerajaan aktif mempromosikan integriti dalam kalangan kakitangan awam semenjak tiga tahun lalu.

“Ia diyakini dapat membantu mengurangkan kes penyelewengan dana awam, penyalahgunaan sumber dan mengurangkan aduan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Hari Integriti Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.

Dr. Sim yang juga Menteri Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu ia adalah langkah yang tepat untuk memerangi isu rasuah, sekali gus dapat meningkatkan imej sesebuah organisasi.

Sementara, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Antonio Kahti Galis menyarankan agar agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menambah baik saluran aduan supaya boleh diakses oleh setiap kakitangan dan pihak lain.

“Ia bagi memudahkan untuk melapor sebarang perbuatan rasuah dan tanpa sebarang risiko tekanan atau diselubungi ketakutan,” ujarnya.