Sabtu, 26 OGOS 2023
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan dengan kolaborasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Komuniti Kampung Muara Tuang dan Universiti Muhammadiyah Indonesia telah mengadakan Program Gotong-Royong Perdana Bersama Komuniti: Program 100 Hari Samarahan Bersih Dan Ceria di Kampung Muara Tuang pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Komuniti Dan Matlamat Pembangunan Lestari Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Kuek Khiok Khuang berkata, program gotong-royong ini merupakan satu komponen dalam Program 100 Hari Bersih Dan Ceria yang julung kalinya diadakan di peringkat Majlis Perbandaran Kota Samarahan bagi membantu komuniti tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan persekitaran kampung.
Menurut beliau, sebanyak empat buah kampung telah dipilih untuk menyertai program ini iaitu Kampung Muara Tuang, Tanjung Apong, Jaie dan Sungai Jernang Baru.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Program Gotong-Royong Perdana Bersama Komuniti: Program 100 Hari Samarahan Bersih Dan Ceria di Kampung Muara Tuang pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, adalah menjadi kesalahan sekiranya penduduk kampung menanam pokok atau tumbuhan di tepi jalan raya yang diselenggarakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa kebenaran daripada PBT.
Antara aktiviti gotong-royong yang diadakan dalam program ini adalah membersihkan sekitar kawasan kampung, saluran air dan menebang pokok kelapa yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk kampung.
Dalam majlis sama turut berlangsung simbolik penanaman pokok bunga di Masjid Al Muttaqin, Kota Samarahan.
Turut hadir Koordinator Jaringan Komuniti UiTM Cawangan Sarawak Dr Azlina Bujang, Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Kota Samarahan Faridah Ismawi dan Penghulu Kampung Muara Tuang Awang Nasihin Awang Samah. -EDISI UKAS
