Berita

 

3,688 sertai poco-poco maraton, lakar sejarah dalam MBOR

Disiarkan pada 05 Feb 2024
Sumber Berita: https://suarasarawak.my/3688-sertai-poco-poco-maraton-lakar-sejarah-dalam-mbor/

SIHAT… Abdul Karim (tengah) bersama-sama Rubiah (dua kiri) menyertai acara poco-poco - Photo Aliff Noni

KOTA SAMARAHAN: Seramai 3,688 peserta Poco-Poco Maraton 2024 melakar sejarah baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penglibatan peserta poco-poco dalam acara paling ramai, hari ini.

Program yang diadakan di Halaman Samarahan bersempena Mini Karnival Usahawan Desa (KUD), acara itu menghimpunkan peserta-peserta dari sekitar Kota Samarahan dan Kuching.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata, selain memupuk gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan komuniti, penganjuran acara juga membuktikan semangat solidariti rakyat Sarawak.

“Poco-poco Maraton dianjurkan sebagai salah satu daya tarikan pengunjung untuk menyokong pembangunan usahawan luar bandar.

“Pada masa sama, kita juga sedia maklum bahawa poco-poco ini merupakan kesukaan rakyat malah kumpulan tersendiri ditubuhkan di setiap kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai acara Poco-Poco Marathon 2024 yang turut disertai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Halaman Samarahan di sini.

Disebabkan itu jelas Rubiah merangkap Ahli Parlimen Samarahan, kementeriannya menganjurkan acara berkenaan bagi menggumpulkan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk menyerta acara selain mengeratkan silaturahim.


MERIAH… Antara peserta yang menyertai acara poco-poco