KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menambah baik pengurusan dan penyelenggaraan untuk pembersihan parit dan pemotongan rumput di kawasan perumahan dan kampung di bawah kawal selianya.
MPKS dalam kenyataan menyatakan bahawa pihaknya amat komited untuk memastikan keselamatan, kebersihan dan nilai estetik ruang komuniti di Kota Samarahan amnya.
Bagaimanapun MPKS katanya, menghadapi pelbagai cabaran di lapangan seperti struktur dan sampah dibuang ke dalam parit terutama di parit hadapan dan belakang rumah penduduk.
“Oleh itu, penduduk disarankan untuk melakukan pembersihan dan memindahkan struktur yang menghalang kerja-kerja penyelenggaraan agar ia dapat dijalankan dengan lancar dan mengikut standard yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Penduduk kata MPKS, perlu akur serta memberikan kerjasama agar pembersihan dapat dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Sebarang halangan dan perkara yang boleh menyebabkan penyelenggaraan ini tidak dapat dibuat, maka pihak MPKS akan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti memotong, membuang dan membersihkan tanaman yang terbiar di kawasan tersebut,” ujarnya.
MPKS turut menasihati penduduk untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, termasuk mengelakkan sebarang aktiviti penanaman di kawasan awam atau lokasi yang tidak dibenarkan.
“Penanaman di kawasan tidak sesuai boleh membawa kesan buruk seperti penyumbatan saliran dan risiko banjir, sekali gus mengganggu kesejahteraan komuniti.
“Kita (MPKS) juga menyeru penduduk untuk memastikan kebersihan kawasan masing-masing dengan membersihkan hadapan dan belakang rumah serta tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya seperti parit, tepi jalan atau kawasan lapang,” katanya.
Menurutnya, penduduk digalakkan untuk melupuskan sampah dengan cara yang bertanggungjawab melalui kemudahan pelupusan yang telah disediakan.
“Selain itu, kita turut meminta kerjasama penduduk untuk membuka semula struktur yang tidak dibenarkan bagi memastikan proses pembersihan berjalan dengan lancar.
“Ini penting untuk memastikan kawasan Kota Samarahan lebih bersih, selamat dan hijau,” kata kenyataan itu lagi.