News

 

Sesi Libat Urus Penyediaan Laporan Voluntary Local Review (VLR) Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS)

Posted on 04 Sep 2025
Source of News: mpks
Sesi Libat Urus Penyediaan Laporan Voluntary Local Review (VLR) Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS)

gambar


Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama URBANICE Malaysia telah menganjurkan Sesi Libat Urus Penyediaan Laporan Voluntary Local Review (VLR) pada 3 September 2025, bertempat di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak.

Sesi ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta di kawasan Samarahan, Ketua-ketua Masyarakat dari Samarahan dan Asajaya, serta ketua-ketua bahagian dalam MPKS sendiri. Kehadiran pelbagai pemegang taruh ini mencerminkan komitmen bersama dalam usaha memperkukuhkan pembangunan mampan di peringkat tempatan.

Voluntary Local Review (VLR) merupakan satu laporan sukarela yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan bagi menilai serta melaporkan kemajuan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) di peringkat bandar, majlis perbandaran dan komuniti setempat. Pelaporan ini bukan sahaja menjadi penanda aras kepada pencapaian semasa, malah membantu merangka strategi yang lebih berkesan untuk masa hadapan.

Menjelang sesi libat urus ini, satu lawatan tapak telah diadakan pada 2 September 2025 bagi meninjau keadaan semasa berkaitan perkhidmatan dan pembangunan di bawah tadbir urus MPKS.

Untuk makluman, MPKS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama URBANICE Malaysia pada 20 Jun 2025 bagi pelaksanaan penyediaan laporan VLR ini.

Melalui penyediaan Laporan VLR ini, MPKS akan dapat memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama dalam memantau dan menilai pencapaian SDG, sekali gus menyumbang kepada perancangan pembangunan mampan di peringkat negeri dan nasional.