MPKS Anjur Taklimat Penganjuran Bazar Ramadan 2026, Tekankan Keselamatan Makanan dan Harga Berpatutan
Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menganjurkan satu taklimat khas berkenaan penganjuran Bazar Ramadan pada 16 Februari 2026 bertempat di Bilik Jahitan, Dewan Suarah, Kota Samarahan. Taklimat ini melibatkan para penganjur dan peniaga Bazar Ramadan di bawah seliaan MPKS sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan yang akan tiba.
Objektif utama taklimat ini adalah bagi memastikan semua penganjur dan peniaga menitikberatkan aspek keselamatan makanan serta memastikan harga makanan yang dijual adalah berpatutan dan tidak membebankan pengguna. MPKS komited untuk memastikan penganjuran Bazar Ramadan berjalan lancar, teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan masyarakat.
Taklimat berkaitan keselamatan makanan dan kempen pengurangan gula telah disampaikan oleh wakil daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan. Penekanan diberikan kepada amalan kebersihan semasa penyediaan makanan, pengendalian bahan mentah yang selamat serta kepentingan mengurangkan kandungan gula dalam makanan dan minuman selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, sesi turut melibatkan taklimat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menekankan kepatuhan terhadap peraturan harga, pelabelan serta tanggungjawab peniaga dalam memastikan ketelusan harga sepanjang tempoh Ramadan.
Aspek keselamatan dan ketenteraman awam pula telah disampaikan oleh wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan (IPD Kota Samarahan), termasuk garis panduan keselamatan, kawalan lalu lintas serta langkah pencegahan jenayah bagi memastikan suasana Bazar Ramadan kekal selamat dan terkawal.
MPKS berharap melalui taklimat ini, semua pihak yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan penganjuran Bazar Ramadan tahun ini berjalan dengan lebih tersusun, selamat dan memberi manfaat kepada para peniaga serta pengunjung.