Laman Web Rasmi Majlis Perbandaran Kota Samarahan
Siaran Akhbar, 31 March 2026
MPKS LANCAR KEMPEN 3R: PERTANDINGAN KITAR SEMULA SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH PERINGKAT MPKS 2026 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah melancarkan Kempen 3R: Pertandingan Kitar Semula bagi sekolah rendah dan menengah peringkat MPKS pada semalam. Kempen ini melibatkan penyertaan sekolah-sekolah rendah dan menengah di bawah kawasan pentadbiran MPKS, dengan objektif untuk menggalakkan penglibatan aktif pihak sekolah serta memupuk amalan kitar semula dalam kalangan pelajar sejak usia muda. Kempen ini akan berlangsung mulai 1 April hingga 30 September 2026. Selain itu, sekolah-sekolah yang terlibat turut digalakkan untuk menyertai Pertandingan Kitar Semula peringkat Sekolah Zon Selatan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama Fraser & Neave (F&N). MPKS mensasarkan sekurang-kurangnya 50% daripada 61 buah sekolah dalam kawasan pentadbirannya untuk mengambil bahagian dalam kempen ini. Antara impak yang disasarkan melalui pelaksanaan kempen ini ialah peningkatan jumlah kutipan bahan kitar semula sebanyak 50% hingga 70% berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, kempen ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat serta membentuk budaya cintakan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Tuan Haji Shbini bin Haji Saini; wakil daripada Kementerian Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Erin Tan Boon Ling, Pengerusi MPKS, Kr. Haji Abang Ismawi bin Abang Ali; serta ahli-ahli majlis.
Siaran Akhbar, 27 February 2026
Majlis Perbandaran Kota Samarahan Adakan Kunjungan Hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan Perkukuh Kerjasama Pendidikan dan Komuniti Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan (PPD Samarahan) pada hari ini, 27 Februari 2026. Delegasi MPKS diketuai oleh Pengerusi MPKS, Kr. Abang Ismawi bin Abang Ali bersama Timbalan Pengerusi MPKS, Setiausaha Perbandaran, beberapa ahli majlis serta ketua-ketua bahagian MPKS. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan pelaksanaan Pertandingan Kitar Semula Sekolah Peringkat MPKS serta mendapatkan kerjasama pihak PPD bagi memastikan penglibatan sekolah-sekolah yang lebih menyeluruh dan aktif dalam program berkenaan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha MPKS untuk meningkatkan kesedaran amalan kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar dan warga sekolah. Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang kerjasama strategik dalam beberapa aktiviti komuniti yang dirancang oleh MPKS sepanjang tahun ini. Antara perkara yang diberi penekanan ialah pelaksanaan inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak yang bertujuan mewujudkan persekitaran bandar yang selamat, inklusif dan kondusif untuk perkembangan kanak-kanak. MPKS berharap kerjasama erat bersama PPD Samarahan akan terus diperkukuh demi memastikan setiap program yang dirancang dapat memberi manfaat optimum kepada warga sekolah dan masyarakat setempat.
Siaran Akhbar, 24 February 2026
Walkabout di Bazar Ramadan Bandar Riyal, 200 Pek Bubur Lambuk Diagihkan kepada Peniaga dan Pengunjung Bandar Riyal, Stakan – 23 Februari 2026, Program Walkabout di Bazar Ramadan Bandar Riyal yang dianjurkan oleh Belia N17 Stakan telah berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga serta pengunjung bazar. Program ini telah dirasmikan oleh Hamzah bin Haji Brahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N17 Stakan. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi MPKS, Abang Ismawi bin Abang Ali, Timbalan Pengerusi MPKS, Daily, serta ahli-ahli majlis MPKS. Sebanyak 200 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada para peniaga dan pengunjung bazar sebagai tanda penghargaan serta simbol semangat kebersamaan dalam menyemarakkan bulan Ramadan. Menurut YB Datuk Hamzah, program seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, malah menjadi platform untuk menyantuni peniaga kecil serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan komuniti. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini, dan berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Siaran Akhbar, 16 February 2026
MPKS Anjur Taklimat Penganjuran Bazar Ramadan 2026, Tekankan Keselamatan Makanan dan Harga Berpatutan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menganjurkan satu taklimat khas berkenaan penganjuran Bazar Ramadan pada 16 Februari 2026 bertempat di Bilik Jahitan, Dewan Suarah, Kota Samarahan. Taklimat ini melibatkan para penganjur dan peniaga Bazar Ramadan di bawah seliaan MPKS sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan yang akan tiba. Objektif utama taklimat ini adalah bagi memastikan semua penganjur dan peniaga menitikberatkan aspek keselamatan makanan serta memastikan harga makanan yang dijual adalah berpatutan dan tidak membebankan pengguna. MPKS komited untuk memastikan penganjuran Bazar Ramadan berjalan lancar, teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan masyarakat. Taklimat berkaitan keselamatan makanan dan kempen pengurangan gula telah disampaikan oleh wakil daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan. Penekanan diberikan kepada amalan kebersihan semasa penyediaan makanan, pengendalian bahan mentah yang selamat serta kepentingan mengurangkan kandungan gula dalam makanan dan minuman selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, sesi turut melibatkan taklimat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menekankan kepatuhan terhadap peraturan harga, pelabelan serta tanggungjawab peniaga dalam memastikan ketelusan harga sepanjang tempoh Ramadan. Aspek keselamatan dan ketenteraman awam pula telah disampaikan oleh wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan (IPD Kota Samarahan), termasuk garis panduan keselamatan, kawalan lalu lintas serta langkah pencegahan jenayah bagi memastikan suasana Bazar Ramadan kekal selamat dan terkawal. MPKS berharap melalui taklimat ini, semua pihak yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan penganjuran Bazar Ramadan tahun ini berjalan dengan lebih tersusun, selamat dan memberi manfaat kepada para peniaga serta pengunjung.
Siaran Akhbar, 19 January 2026
OPERASI KENDERAAN TERBIAR DI SEKITAR DESA ILMU KOTA SAMARAHAN, 19 Januari – Bahagian Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) hari ini telah menjalankan Operasi Kenderaan Terbiar di sekitar kawasan komersial Desa Ilmu. Operasi ini dilaksanakan susulan tamatnya tempoh notis amaran selama tujuh (7) hari yang telah dikeluarkan sebelum ini kepada pemilik kenderaan terlibat. Namun begitu, tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pemilik kenderaan dalam tempoh yang ditetapkan. Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengambil tindakan sitaan dan penundaan terhadap kenderaan yang gagal mematuhi arahan serta notis yang telah dikeluarkan. Semua kenderaan yang disita akan ditempatkan sementara di perkarangan Pejabat MPKS bagi tujuan rekod dan pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan serta pemantauan terhadap kenderaan terbiar akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran awam sentiasa bersih, selamat dan teratur serta memastikan ruang tempat letak kereta dapat digunakan orang awam. MPKS menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan imej kawasan perbandaran.
Siaran Akhbar, 02 March 2026
Tahukah anda? Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026). Banci Ekonomi 2026 (BE2026) merupakan banci ke-6 yang dilaksanakan setiap lima tahun sekali sejak tahun 2000. Banci ini bertujuan untuk mengumpul data yang komprehensif meliputi keseluruhan aktiviti ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan borong dan runcit. Pelaksanaan BE2026 turut merangkumi pertubuhan perniagaan serta pertubuhan tidak berasaskan keuntungan. Data yang dikumpulkan akan menjadi sumber rujukan penting sebagai nadi ekonomi rakyat dan asas dalam merancang pembangunan negara yang lebih berkesan serta mampan. Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia atau akses pautan berikut:- 1. Pengenalan BE2026 2. Pelaksanaan Operasi BE2026 3. Objektif BE2026